8/05/2007 06:38:00 pm 0 Comments

Nik Aziz ‘diketepi’ hadir program Perdana Menteri di Kelantan
Maslan Yusoh
Wed | Aug 01, 07 | 05:59:19 PM

KOTA BHARU, 1 Ogos (Hrkh) – Kalau di negeri-negeri lain, kedatangan Perdana Menteri bagi melancarkan sesuatu projek di negeri terbabit tentunya Menteri Besarnya turut dijemput sama.

Sebaliknya di Kelantan keadaan seperti itu tidak berlaku. Menteri Besar yang dilantik melalui amanah rakyat dipinggirkan, biar pun kos projek dijalankan ditanggung rakyat.

Inilah politik demokrasi terpimpin yang diamalkan Umno. Malah ada pihak menyamakan sebagai dasar divide and rule (pecah dan perintah).

Hakikat itu dapat dilihat apabila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat langsung tidak dijemput menghadiri majlis pecah tanah projek jambatan Sultan Yahya Petra kedua, di sini, pagi esok.

Malah, kesemua program yang dihadiri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sepanjang dua hari berada di Kelantan langsung tidak dijemput Menteri Besar, sebagai ketua kerajaan.

Sedangkan setiap projek yang dijalankan perlu melibatkan sama kerajaan negeri terutamanya berkaitan aspek kelulusan tanah.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Haron mengesahkan tiada jemputan rasmi dibuat pihak penganjur kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya hadir program Perdana Menteri di Kelantan.

“Sehingga petang ini kita tidak menerima apa-apa surat jemputan rasmi. Kami tidak faham apa lagi bentuk kerjasama yang mampu diberi kepada pemimpin kerajaan Pusat.

“Biar pun projek itu melibatkan soal pengambilan tanah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun ketua kerajaan pula dipinggirkan setelah tanah yang diminta diluluskan,” katanya di sini.

Esok Perdana Menteri dijangka merasmikan upacara pecah tanah projek pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra kedua yang menghubungkan Kota Bharu dan Tumpat.

Selain itu Abdullah juga akan melancarkan pembangunan Universiti Malaysia Kelantan dan melawat projek pemulihan akhlak di Machang.

Bagaimanapun Anual Bakri berkata, pagi tadi ada sekeping kad jemputan berlogo Kada yang tidak dituju kepada sebarang pemimpin dihantar seorang yang tidak dikenali di pejabat Menteri Besar.

“Kakitangan di sini melihat orang terbabit datang secara tergesa-gesa dan meletak kad jemputan tanpa nama di atas meja kerani. Tidak pula ditulis kad jemputan atas nama Menteri Besar atau pemimpin-pemimpin lain,” katanya.

Malah, kata beliau Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak keberatan hadir program Perdana Menteri sekiranya ada jemputan, seperti pelancaran Kada Baloh Negara di Pasir Puteh, tahun lalu.

Beliau juga berkata, amalan yang dipraktikkan pemimpin Umno langsung tidak mencerminkan konsep Islam Hadhari yang diuar-uarkan Perdana Menteri sebelum ini. - mj

0 comments: