8/03/2007 01:44:00 am 0 Comments

Rakan bantu pelajar hamil



SEREMBAN: Rakan kepada seorang pelajar yang melahirkan anak tidak cukup bulan seorang diri dalam tandas wanita di sebuah asrama kolej di Taman Bukit Delima, Temiang dekat sini, dikatakan mengetahui rakan mereka mengandung anak luar nikah.

Bagaimanapun, mereka terpaksa merahsiakannya bagi mengelak remaja berusia 19 tahun ini mendapat malu.



Bagi mengelak malu, pelajar itu dikatakan tinggal di dalam bilik dan segala keperluan dibeli rakan sebiliknya.

Pada Ahad lalu, pelajar terbabit melahirkan anak kembar berkenaan dalam tandas tetapi anak yang dilahirkan itu meninggal dunia kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Rakan mangsa hanya mengetahui pelajar itu melahirkan anak selepas mendapati keadaannya yang lemah dan pucat lalu menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sehingga kini, pelajar berkenaan belum dapat diambil keterangan kerana dikatakan masih belum stabil dan kini masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Huzir Mohamad, berkata siasatan berhubung penemuan mayat bayi kembar dalam tandas sebuah asrama kolej di Temiang itu masih berjalan.

Katanya, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh anak.

"Kami menanti masa yang sesuai untuk mengambil kenyataan daripada seorang wanita yang disyaki ibu kepada pasangan kembar itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Isnin lalu, Harian Metro menyiarkan mayat bayi kembar lelaki ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam tandas wanita sebuah asrama kolej di Taman Bukit Delima, Temiang, dekat sini.

Mayat kembar dua yang dipercayai tidak cukup bulan itu ditemui berbalut kain batik dan diletakkan di dalam baldi.

Difahamkan, ibu bayi terbabit yang menuntut di sebuah kolej di Mantin melahirkan anak kembarnya dalam tandas itu, kira-kira jam 6 petang.

Menurut sumber polis, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat pasangan bayi kembar terbabit.

Katanya, hasil bedah siasat itu perlu untuk mengetahui punca pasangan bayi malang itu meninggal dunia.

"Keputusan bedah siasat itu dijangka diperolehi dalam tempoh terdekat," katanya.


0 comments: